Kecoh benar baru-baru ni pasal sumbangan PIBG sehingga ada pihak muat naik pekeliling bahawa sumbangan PIBG itu tidak wajib dibayar.
Katanya sekolah tidak berhak sekat keputusan peperiksaan mahupun menyekat bantuan buku teks jika ibubapa tidak bayar sumbangan PIBG.
Sinis mereka menyindir bila dinamakan sumbangan tidak patut letak satu angka tetap memandangkan ia bukan yuran.

Bersoraklah puak yang memang tak suka bayar PIBG dengan pendedahan pekeliling tersebut.
Makin galak mereka marah dan maki hamun pihak sekolah (segelintir) yang kononnya mengugut untuk menyekat keputusan peperiksaan anak-anak mereka atau menyekat bantuan buku teks selagi sumbangan PIBG tidak diterima.
Gambar yang kau lihat ini, gambar rumah bekas murid aku. Uzurkan rumahnya? Dalam rumah pun bocor sana sini.
Iya, ibunya kerja cleaner di sebuah klinik swasta dengan gaji RM700 sahaja. Suami pula hanya mekanik.
Bulan puasa si ibu menjual air soya. Keluarga mereka boleh dikatakan keluarga miskin.
Miskin mereka pada harta. Sehingga pernah sewa rumah yang hanya RM350 mereka tak mampu bayar bila suami kemalangan dan perlukan rawatan.
Ya, RM350 itu menjadi satu angka yang sangat mengerikan bagi mereka yang miskin dan kesempitan.
Benar mereka miskin duit, namun mereka kaya dengan tanggungjawab.
Mereka miskin, namun mereka tidak sanggup mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibubapa yang punya anak di sekolah.
Si ibu gigih mengumpul duit syiling setiap hari. Untuk apa? Untuk dia langsaikan tanggungjawab sebagai seorang ibubapa dengan membayar yuran PIBG yang berjumlah RM50.
Sedikit demi sedikit dikumpulkan, baru hendak cukup terpaksa guna bila gas memasak di dapur kehabisan. Nak cukup pula, bil air sampai warning pula, bayar bil pula.
Akhirnya, bulan Julai baru duit berjaya si ibu ini kumpulkan. Dia malu hendak menyerahkan selonggok syiling kepada aku sebagai guru kelas, maka dia ke kedai runcit menukar duit kertas.
“Maaf cikgu. Saya lambat bayar sumbangan PIBG anak saya. Nah cikgu, akhirnya cukup juga saya simpan untuk bayar.”
“Eh kak. Tak payah bayarlah. Akak bukan orang senang. Tak akan ada sesiapa mengata jika akak tidak bayar. Bukan wajib pun,” balas aku.
“Tak boleh cikgu. Dua anak saya bersekolah di sini. Mereka gunakan kemudahan di sekolah ini. Tidak adil anak saya guna dan dapat semua kemudahan tapi saya tak bayar pun sumbangan PIBG.”
“Allah kak. Keluarga lain yang kaya raya kereta dua tiga pun ada yang tak bayar sumbangan PIBG ni kak.”
“Biarlah mereka cikgu. Akak rasa bersalah kalau tak bayar. Biar pun akak tak punya kereta. Biar pun akak hanya berjalan kaki sahaja setiap hari hantar anak-anak akak ke sekolah. Biarlah orang nak kata akak orang miskin pun. Tapi akak nak bayar juga.”
Aku memandang ke dalam matanya. Penuh kesungguhan dia ungkap setiap kata-kata.
Akak ini, dia faham apa erti keberkatan ilmu. Dia faham sebenar benar faham.
Dia faham apa itu tanggungjawab terhadap anak. Dia rasa berdosa dan bersalah jika anak dia tidak bayar sedangkan dapat kemudahan yang sama dengan mereka yang membayar.
Minggu lepas aku ziarah mereka sampaikan sumbangan barang dapur. Dan dia sampaikan berita gembira anaknya dapat masuk universiti tempatan.
Ah! Balasan Tuhan itu pasti pada mereka yang faham tentang erti keberkatan.
Tidakkah mereka yang melalak melolong diluar sana mempertikaikan sumbangan PIBG malu dengan keluarga ini?
Tidakkah mereka terasa sesuatu bila baca kisah ini? Jika tiada rasa dihati, tiada pula rasa malu, mohonlah pada Tuhan agar kau dikurniakan hati baru.
Sesungguhnya hati kau telah mati!
Kisah ini, bukan kisah rekaan. Gambar ini bukan gambar hiasan. Semua ini benar lagi sahih. Mereka masih hidup dan menetap di sini.
Yang tak percaya, marilah ikut aku berziarah dan tanyalah sendiri pada mereka.
#MFS
– Bukan penglipur lara menyedapkan cerita. Yang sahih lagi benar, itulah yang dipapar –
Cerita dari Cikgu Mohd Fadli Salleh

