Mulai hari ini hingga 17 September, lebih 4,000 atlet dari lebih 150 negara dan wilayah akan bersaing dalam 20 acara sukan di stadium dan gelanggang yang sama digunakan pada Sukan Olimpik XXIX.
Bertemakan ‘Satu Dunia, Satu Impian’ Sukan Paralimpik mencerminkan nilai-nilai asas dan sejagat iaitu perpaduan, persahabatan, kemajuan, keharmonian, penyertaan dan impian.
Sebanyak 20 acara yang dipertandingkan iaitu powerlifting, bola keranjang berkerusi roda, ragbi berkerusi roda, bola tampar berkerusi roda, menembak, lawan pedang, tenis bekerusi roda, goalball, boccia, ekuestrian, bola sepak lima sebelah, bola sepak, judo, mendayung, renang, lumba basikal, perahu layar, olahraga, memanah dan ping pong.
[ad#advertlets]
Manakala sejumlah 472 pingat emas ditawarkan dengan negara tuan rumah sebagai kuasa baru Sukan Olimpik dijangka menguasai pungutan emas kali ini.
Hanya dua acara akan diadakan di luar bandar raya Beijing iaitu perahu layar di Qingdao dan ekuestrian di Hong Kong.
“Kami menganjurkan Sukan Paralimpik bertaraf antarabangsa dengan ciri-ciri menonjol dan menampilkan dua temasya sukan Olimpik seimbang yang sama hebat sebagai komitmen kami kepada dunia,” kata Naib Presiden Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Beijing, Wang Wei semalam.
Katanya, Sukan Paralimpik Beijing akan membuka lembaran baru bagi sukan Orang Kurang Upaya (OKU).
Tambah Wang Wei, dia mempercayai Beijing dapat menganjurkan temasya itu dengan jayanya dengan sokongan kerajaan dan rakyat serta bantuan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dan pihak media.
Pada temasya Paralimpik kali ini, cabaran Malaysia dipikul 11 atlet dalam lima jenis acara sukan iaitu memanah, renang, olahraga, perahu layar dan powerlifting.
Malaysia mula menyertai Sukan Paralimpik sejak edisi 1984 di Seoul, Korea Selatan dengan pingat pertama diperoleh menerusi P. Mariappan dalam acara powerlifting iaitu pingat gangsa.
Pada temasya 1992 di Barcelona, kontinjen Malaysia memperbaiki pungutan dengan tiga pingat menerusi Cheok Kon Fatt (perak) dan dua gangsa masing-masing oleh Mariappan dan Mohd. Khasseri Othman dalam acara olahraga.
Sebagai tuan rumah, China mengemukakan kontinjen terbesar iaitu 332 atlet dalam semua 20 acara.
Semasa upacara perasmian, penonton dihidangkan dengan persembahan yang cukup mengkagumkan hasil karya pengarah filem terkenal Zhang Yimou, yang pernah menggondol anugerah serta mengarahkan perasmian Sukan Olimpik bulan lepas.
Majlis perasmian Sukan Paralimpik dengan tema “Terbang dengan Impian” juga turut menampilkan persembahan bercorak teater dengan menyelitkan konsep langit, bumi dan manusia.
Persembahan cukup menarik itu dibahagikan kepada babak bertajuk perjalanan atmosfera, masa dan kehidupan dengan penyanyi cacat penglihatan, Yang Haitao menyampaikan lagu mengisahkan niat ucapan selamat maju dalam hati.
Ia dikuti persembahan sebuah lagu dalam bentuk isyarat tangan oleh 300 kanak-kanak perempuan cacat pendengaran.
Dalam segmen perjalanan masa, penonton takjub melihat persembahan tarian balet oleh Li Yue, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang kehilangan kaki semasa gempa bumi di wilayah Sichuan Mei lepas.
Perjalanan kehidupan pula mengisahkan buruan China untuk mencapai keharmonian antara manusia dan alam semesta dengan persembahan oleh 2,000 kanak-kanak.
Penyanyi selebriti Hong Kong Andy Lau berganding dengan penyanyi tuan rumah, Han Hong menyampaikan lagu tema Sukan Paralimpik “Terbang dengan Impian”.
Seorang pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Hou Bin, yang kudung kaki, dan berkerusi roda diangkat dengan bantuan tali untuk menyala obor di kawah stadium. – Bernama
