Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan agar penerbit video yang menerbitkan bahan mengenai Islam menggunakan teknik penerbitan terkini supaya produk mereka menarik perhatian semua pihak untuk menontonnya.
Katanya antara teknik terkini yang boleh digunakan ialah menerusi DVD (cakera video digital) yang boleh dilengkapi dengan kesan bunyi dan penyampaian yang lebih interaktif.
Beliau berkata melalui teknik seperti itu, penyampaian maklumat bukan sahaja boleh dilakukan secara bersahaja malah mampu menarik minat penonton untuk mendekati subjek dengan lebih mendalam.
“Kita (orang Islam) yang mempelopori bidang-bidang keilmuan termasuk perubatan, metametik, angkasa lepas, astronomi, senibina dan botani dan farmakologi, tetapi yang memanfaatinya selepas itu adalah orang Barat dan kita hanya mengikutinya dari belakang.
“Apa yang kita mahukan sekarang, masyarakat Islam menjadi peneraju, mendahului dunia dalam bidang keilmuan,” katanya selepas melancarkan DVD mengenai Ilmuan Islam yang memaparkan dokumentari menjejaki para ilmuan Islam dari seluruh dunia, di sini malam ini.
Dokumentari selama 13 jam yang dimuatkan dalam empat DVD itu merangkumi cerdik pandai Islam dari 10 buah negara termasuk Iran, Uzbekistan, Sepanyol, Syria, Mesir, Maghribi, Itali, Tunisia, Turki, China dan Oman.
Untuk permulaan, DVD itu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan akan mula berada di pasaran tempatan mulai esok dengan harga RM89.90.
[ad#ads-post]
DVD itu boleh diperolehi di kedai buku utama termasuk rangkaian Nickleodeon Books (M) Sdn Bhd, Kinokonuya dan MPA Book Store, selain akan dibekalkan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan perpustakaan awam di seluruh negara.
Shafie yang juga Pengerusi Persatuan Anggota Parlimen Komanwel yang baru dipilih, berkata beliau akan membawa video dokumentari itu ke setiap acara rasmi persatuan itu sebagai promosi.
“Saya mahu ia bukan sahaja disajikan kepada mereka yang berada di negara membangun tetapi juga di negara miskin termasuk Afrika dan seterusnya mencetus semangat menjana ilmu di kalangan masyarakat Islam dunia,” katanya kepada Bernama.
— BERNAMA
