KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka apabila tewas kepada Vietnam 5-6 melalui sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa 90 minit perlawanan dan bermain pula dalam masa tambahan 30 minit lagi.
Keputusan perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu malam seperti dapat dijangka, apabila Vietnam mempamerkan corak permainan pantas yang sukar dibendung pemain Malaysia.
[ad#advertlets]
Bermula dengan jaringan pertama melalui Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-7, tetapi dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana off-said, skuad kebangsaan mempunyai peluang menjaringkan gol, tetapi sering menemui jalan buntu.
Peluang terbaik untuk mereka membuka jaringan hadir pada minit ke-25 apabila tandukan ketua pasukan Mohd Syukor Adan menerusi sepakan sudut singgah tepat ke dakapan penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.
Namun Vietnam yang dibarisi pemain bawah 23 tahun, tetap mencemaskan benteng pertahanan negara dengan beberapa serangan balas untuk mencari gol pendahuluan.
Percaturan ketua jurulatih kebangsaan, B. Sathiananthan dengan memasukkan Mohd Ashaari Samsuddin dan mengeluarkan perancang tengah Mohd Hardi Jaafar pada awal babak kedua juga gagal menghasilkan perubahan yang positif kepada skuad kebangsaan yang seringkali hilang punca untuk melepasi pertahanan Vietnam.
Walaupun berbekalkan sorakan hampir 30,000 penonton tempatan, skuad kebangsaan masih gagal meledak sebarang gol sehinggalah tamat 90 minit masa permainan menyebabkan perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.
Skrip sama tetap berulang kepada skuad kebangsaan dalam masa tambahan yang akhirnya memaksa sepakan penalti diambil.
Impian skuad kebangsaan untuk mempertahankan kejuaraan akhirnya berkecai setelah kedudukkan terikat 5-5 dan pemain pertahanan Norhafiz Zamani Misbah gagal menyempurnakan sepakan penalti keenam untuk Malaysia.
Manakala Mai Tien Thanh pula berjaya menewaskan penjaga gol kebangsaan Mohd Helmi Eliza Elias untuk membolehkan Vietnam memenangi kejuaraan Pestabola Merdeka edisi ke-40 yang kali terakhir memenanginya pada 1966.
Kemenangan ini membolehkan Vietnam membawa pulang piala dan hadiah bernilai USD 10,000 sementara skuad kebangsaan meraih USD 5,000.
— BERNAMA
