0

Yamaha Y15ZR Jadi Pilihan Aku

Motosikal ini dilancarkan pertama kali pada tahun lalu di Vietnam dengan nama Yamaha Exciter 150.Kemudian di Indonesia dengan nama Jupiter MX King dan seterusnya Thailand.

Para peminat moped Yamaha di Malaysia terpaksa menunggu sehingga Ogos lalu sebelum ia dilancarkan. Lencananya berbunyi lebih elegan, Y15ZR. Berbeza dengan negara jiran kita, Hong Leong Yamaha Malaysia lebih gemar memilih kod berbanding nama untuk menyelaraskan profil motosikal ‘berprestasi tinggi’ mereka seperti 135LC, FZ150i dan 125ZR.

Ketika Yamaha memperkenalkan model LC135 4 kelajuan pada 2006, ia menjadi penanda aras baru dalam motosikal jenis underbone. Belum pernah ada motor cub empat lejang yang menggunakan sejukan cecair, blok pembakaran condong 90 darjah dan penyerap hentak belakang monoshock.

Model LC135 ES 5 kelajuan versi facelift pula bukan sekadar perubahan kosmetik. Malah ia diperbaharui dengan klac tangan, gear lima kelajuan, brek cakera belakang dan brek depan 2 pot. Anehnya, walaupun dijual pada harga paling mahal dalam kategori kapcai, ia tetap laris!

Kita sedia maklum dengan pasaran tinggi motosikal moped underbone di Malaysia. Justeru tak hairanlah, Y15ZR antara motosikal yang paling dinantikan oleh peminat tempatan.

Dalam wilayah moped, ia berada di hierarki paling tinggi dan hampir tidak bersaing dengan sesiapa pun. Kalau ada pun, saingan terdekatnya ialah Suzuki Belang 150. Namun begitu, karekter street masih tidak boleh dikelaskan bersama moped dengan cub. Saya ambil kira Belang sebab ia masih underbone dan boleh dipasang dengan bakul.

Revolusi tidak datang selalu, tetapi pembaharuan adalah perlu dengan apa yang dibawa oleh Y15ZR. Saya diberi peluang menunggang sekitar bandar raya, menjelajah jalan sub urban dan lebuh raya pendek selama seminggu.

Apa yang boleh disimpulkan, Y15ZR ialah cub generasi baru. Sama sekali berbeza dengan apa jua moped yang pernah dihasilkan oleh mana-mana pengeluar sebelum ini.

Enjinnya lancar, pendikitnya cukup lembut apabila melihat RPM memanjat naik dan kelajuan mendaki. Cuma kelajuan maksimumnya tak seperti yang diharapkan. Saya berketinggian 177cm dengan berat 73kg dan kelajuan tertinggi berjaya dicatat ialah 131km/j di laluan lurus, rata tanpa menundukkan badan.

Namun itu bukan kisahnya. Berbeza dengan LC (ya. saya ada sebuah), cara mendaki ke puncak kelajuan tadi jauh lebih lancar dan cepat berbanding LC135. Terima kasih pada enjin 150cc (149.7 lebih tepat) dengan sistem penyejukan cecair yang turut digunakan oleh model FZ150i.

Sebenarnya, platform enjin ini juga adalah asas enjin LC135 dengan bore dan stroke yang berbeza. Cuma ia telah diperbaharui dengan sistem pancitan bahan api moden. Secara teknikalnya, enjin ini ditala semula dengan sedikit pengurangan kuasa kuda berbanding FZ150i (11.3Kw vs 12.2Kw).

Jika ada sebuah cub yang tegap dan paling stabil di selekoh, maka inilah calonnya. Di laman-laman kelab Y15ZR, ramai yang bersorak gembira apabila berpeluang menggunakan tayar Battlax atau Super Corsa.

Ya. Terima kasih dengan saiz tayar belakang 120/70, saiz terbesar pernah dibuat untuk sebuah cub. Paling besar untuk kategori cub/street dan naked untuk kategori ini. Sebagai perbandingan, 120 adalah saiz standard tayar depan bagi kebanyakan superbike 1000cc!!!

Sebelum ini pun saiz belakang model LC pun memang paling besar – 100/70, bayangkan kenaikan 120/70. Kalau dikecilkan perspektif pandangan dari belakang, nampak macam motor custom bobber Honda Ruckus.

Tetapi berita baiknya, macam yang saya beritahu tadi, pengendaliannya tegap apabila badan motor diturunkan di selekoh. Pada kelajuan tinggi, rasa lebih yakin sebab stabil. Malah rasa momentum berat datang dari belakang cukup membantu ketika membrek.

Anda akan rasa lebih yakin hendak berhenti sebab ia ada sentuhan permukaan yang lebar. Secara peribadinya, ini kali pertama saya rasa brek cakera belakang pada motosikal cub berfungsi 100 peratus! Brek cakera pada motosikal cub lain saya rasa overkill. Boleh menggelungsur kalau dipaksa.

Kelebihan sistem pancitan bahan api pada motosikal moden adalah pembakaran yang lebih efisien. Itu menjadikan enjin lebih cekap tenaga, membakar bahan api pada kadar tepat campuran nisbah mampatannya atau dalam bahasa mudahnya, jimat minyak.

FZ150i sudah membuktikannya dan sekali lagi dapat diterjemahkan pada model Y15ZR. Tangki 4.2 liter motosikal ini mampu mencatat jarak sejauh 150km kalau tak diperah pendikitnya secara membuta-tuli. Sebab tangki pertama yang saya uji dapat sekitar 100-110km sahaja, sebab seronok sangat pulas throttle sampai terlupa ini sebuah motor cub urban.

Untuk mereka yang berjiwa muda. Satu ketika dahulu waktu Yamaha memperkenalkan versi klac pada LC135, ramai tak sangka ia boleh selaris itu.

Logiknya, orang yang beli cub 4 lejang mahu tangan kiri bebas dari menarik tuil klac. Bayangkan membonceng anak kecil, membeli barang di pasar, memang tak selesa dengan klac. Tapi pasaran hari ini telah membuktikan sebaliknya.

Dari sudut teknikalnya pula, kuasa enjin yang semakin tinggi tidak lagi mampu ditampung oleh klac jenis automatik.

Pada harga asas RM8,000 dengan GST, ia bukanlah moped yang murah. Y15ZR harus berfungsi lebih dari sekadar alat pengangkutan. Dengan gaya yang sporty, pengendalian yang bagus dan kuasa yang mencukupi, ia adalah moped yang direka untuk gaya hidup.

Ulasan dari > http://www.mekanika.com.my/motosikal/inilah-raja-kapcai-yamaha-yz15r

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sabri Ahmad

Hanya insan biasa yang mencari keredhanNya.Seorang pemain industri internet yang sedia membantu rakan-rakan yang memerlukannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *