Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Pas akan menjadi parti yang mewakili orang Melayu dan orang Islam apabila Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan baru nanti.
Pas malah katanya boleh menjadi parti yang lebih baik untuk orang Melayu dan orang Islam.
“Bila Umno tiada, Pas pun Melayu…serupa juga. Lebih baik lagi, macam kita jaga Kelantan,” katanya pada sidang akhbar pada hari ketiga Muktamar Tahunan Pas ke-54 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Ditanya mengenai kebimbangan setengah pihak bahawa peranan ulama akan terhakis apabila Pas menyertai Pakatan Rakyat, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata ketakutan seperti itu adalah perkara biasa.
“Sebenarnya tidak patut wujud perkataan (golongan) ulama dan profesional…
orang yang sama juga kerana tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Beliau berkata dalam Islam tidak boleh dipisahkan ahli sains, ahli politik dan ulama.
[ad#advertlets]
Menjawab soalan sama ada Pas akan meneruskan perjuangan menegakkan negara Islam, Nik Abdul Aziz berkata kerajaan Pakatan Rakyat boleh menjadikan Kelantan sebagai contoh negara Islam yang diperjuangkan oleh parti itu.
“Kalau ragu-ragu dengan negara Islam, tengok Kelantan. Itu contoh negara Islam, pelaburan banyak…kita minta Pakatan Rakyat tiru Kelantan kalau ada yang tidak betul beritahu dan kita akan baiki,” katanya.
Ditanya sama ada muzakarah dengan Umno perlu diteruskan, Mursyidul Am parti itu berkata Pas terbuka untuk meneruskan perjumpaan jika Umno sedia berbincang untuk menerima Islam.
“Kita tidak mahu berjumpa untuk berbincang hal masalah kementerian…
muzakarah boleh (tetapi) Umno keluar daripada kesesatan dan terima Al-Quran 100 peratus.
“Muzakarah ini ingat mengingat masa depan di akhirat bukan bincang kementerian,” katanya.
Beliau juga berkata Umno meminta mengadakan muzakarah apabila berada dalam keadaan tertekan sama seperti semasa mereka menjemput Pas menyertai Perikatan dan Barisan Nasional (BN) dulu sebelum Pas ditendang keluar.
Beliau berkata Umno parti yang sanggup meninggalkan kawan rapat seperti MCA dan MIC dan berkawan dengan Pas apabila berada dalam kesusahan.
Katanya, apabila MCA dan MIC mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas, dua parti kawan rapat Umno itu telah tidak dipedulikan.
Mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, Nik Abdul Aziz berharap BN tidak membangkitkan isu berkaitan peribadi dalam kempen pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata BN perlu menangani soal dasar bagi menarik sokongan dan bukannya membangkitkan masalah peribadi. – Bernama