Kubur Sebenar Tok Janggut ?

kubur sebenar tok janggutSama ada pahlawan Melayu, Tok Janggut, gugur dalam pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan atau meninggal dunia pada usia tua, persoalannya di mana pula jasad pejuang itu disemadikan?

Sejak sekian lama masyarakat diberitahu kuburnya terletak di Pasir Pekan, Tumpat.

Bagaimanapun, usaha penulis menjejaki sejarah pejuang ikonik Kelantan itu membawa kepada penemuan beberapa sumber baharu lokasi lain kubur Tok Janggut.

Cerita cucu Tok Janggut Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, datuknya dikebumikan di perkuburan lama Kampung Hutan Puteh, Machang akibat sakit tua selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Tok Janggut memang tidak dikenali kecuali di kalangan segelintir pengikutnya dan identiti sebenarnya diminta dirahsiakan sehinggalah beliau meninggal dunia.

Pada akhir hayat Tok Janggut berpesan kepada orang-orang terdekatnya, ” Kebumikanlah saya sama sebagaimana dengan mana-mana orang lain juga.”

Jelas Wan Asrul, kubur di Pasir Pekan itu dibuat-buat oleh pihak British bagi mengaburi mata rakyat Kelantan yang mahu membuktikan mereka berjaya membunuh Tok Janggut.

“Hanya kaum tua yang hidup lebih daripada 100 tahun mengetahui kisah sebenar kubur di Pasir Pekan itu,” katanya.

KUBUR BERTANDA BOTOL KACA ZAMAN BRITISH

Dakwaan Wan Asrul itu dikuatkan lagi oleh dua individu lain yang penulis temui iaitu seorang penduduk di Kampung Hutan Puteh, Roslan Mustafa dan Pengkaji Sejarah Islam Kelantan Ustaz Abdullah Al-Qari Salleh.

Bertitik tolak daripada keyakinan kisah yang sama didengari oleh sebahagian penduduk di Pasir Puteh yang mendakwa Tok Janggut tidak terbunuh, Abdullah Al-Qari berkata beliau berjaya menemui bukti secara berlisan.

Pujangga Islam itu berkata beliau mendapat cerita Tok Janggut daripada pengakuan tiga orang penggali kuburnya iaitu Adam Ahmad, Pakteh Taib dan Paksu Yunus Abd Rahman yang ditemuramahnya pada tahun 2010.

Hasil temuramah itu ditulis dalam halaman terakhir bukunya bertajuk Ensiklopedia Unggul Doa Hajat Jampi Mujarab Segala Penyakit Tanpa Ubat.

Bagaimanapun, sekarang hanya Adam yang masih hidup sementara dua orang lagi sudah meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.

Dikatakan ketika Tok Janggut meninggal umur ketiga-tiga penggali kubur itu berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun.

Mengimbas kembali pertemuan dengan mereka, Abdullah Al-Qari berkata Tok Janggut meninggal dunia selepas menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Kota Simpul Berlubang, bersempadan dengan Kampung Hutan Puteh di mana terletak lokasi kuburnya kini.

“Kematian Tok Janggut pada tengah hari Selasa disaksikan ramai orang kampung dan jenazahnya diiringi kira-kira 30 orang.

“Mengikut adab orang kampung di situ apabila seseorang dikebumikan, kuburnya di tanda dengan botol kaca, satu di kaki dan satu di kepala.

“Di bahagian kepala kubur Tok Janggut diletakkan sebuah batu merah bersama botol, manakala bahagian kakinya kekal dengan botol kaca,” katanya.

Tinjauan penulis ke lokasi perkuburan itu yang terletak di ladang getah mendapati tidak kurang daripada empat kubur yang bertanda botol kaca.

Botol kaca di kubur yang dikatakan milik Tok Janggut tertera ayat “Bottle Made In England”. Bagaimanapun, tarikhnya tidak dapat disahkan.

PENAMPILAN TOK JANGGUT SESUDAH PERANG PASIR PUTEH

Rentetan daripada usia yang sudah semakin lanjut, Wan Asrul berkata Tok Janggut mengambil keputusan untuk menghabiskan masanya dengan mengabdikan diri kepada Allah selain mengajar ilmu agama dan persilatan untuk penduduk kampung.

Daripada segi fizikal dan susuk badan, Wan Asrul berkata Tok Janggut adalah seorang yang tidak tinggi, kulitnya pula bewarna cerah dan janggutnya mencecah ke dada sejak muda lagi.

Disebabkan perwatakan yang zuhud, rendah diri dan juga dikenali dengan nama lain seperti Pakcu Hj Mat Hassan, ramai yang tidak tahu beliaulah sebenarnya Tok Janggut.

Dalam hal ini, Abdullah Al-Qari juga bersependapat dengan Wan Asrul yang mengatakan penampilan Tok Janggut gemar memakai pakaian serban dan jubah yang bewarna hijau.

“Pada penelitian saya, Tok Janggut adalah seorang yang bertaqwa atau bertaraf Wali di mana setiap masa terutamanya pada waktu malam beliau mengajak orang-orang kampung bertahlil dan membentuk majlis zikir yang dibuat secara berjadual sama ada di rumah atau di masjid.

“Di sini jelas kelihatan keperibadian Tok Janggut yang mempunyai tujuan yang baik dan ikhlas semata-mata hanya kerana Allah,” kata Abdullah Al-Qari.

tok janggut pahlawan kelantan

WARIS DAN CUCU TOK JANGGUT

Apabila menghuraikan perihal waris atau salasilah, Wan Asrul mengingatkan adalah penting untuk berhati-hati dalam membuat pengakuan bahawa beliau adalah waris atau cucu Tok Janggut.

Ini adalah untuk mengelakkan timbulnya sebarang fitnah.

Tok Janggut, katanya, berkahwin selepas perang di Pasir Puteh dan mempunyai dua isteri yang kemudiannya bercerai mati.

Isterinya Che Yah mempunyai tiga orang anak manakala isteri yang seorang lagi, Che Timah, mempunyai dua orang anak.

Beliau pernah berjumpa dengan salah seorang anak Tok Janggut yang dikenali Haji Ahmad berusia 68 tahun pada 1996 dan pertemuan itu berlaku di perkuburan lama Hutan Puteh, Machang.

Bagaimanapun, Wan Asrul berkata itulah kali terakhir beliau berjumpa dengannya dan tidak pasti sama ada anaknya itu masih hidup atau sebaliknya sekarang.

Selain itu, kata Wan Asrul waris Tok Janggut ada daripada kumpulan kanan dan kiri kerana kurang sepakat dan tidak tahu sejarah sebenar Tok Janggut.

“Saban tahun ada himpunan waris Tok Janggut. Saya juga turut hadir dan cerita hal ini.

Tetapi hanya sekadar berkumpul, tidak ada objektif bagaimana sama-sama menjernihkan balik sejarah Tok Janggut.

“Kalau kita mengaku waris Tok Janggut, sepatutnya kena tahu ceritanya, misalnya apabila ditanya hal Tok Janggut dan kita mesti tahu untuk menjelaskannya, bukan diam sahaja,” katanya.

DICERITAKAN SEMULA OLEH MOYANGNYA

Dalam pada itu Wan Asrul memberitahu Bernama, kisah pejuang itu diceritakan kembali oleh moyangnya, Allahyarhamah Che Yah Adam yang meninggal dunia pada usia 139 tahun pada tahun 2008.

Adam, bapa kepada moyangnya merupakan adik beradik kepada Munas, iaitu bapa Tok Janggut. Selain Adam dan Munas, seorang lagi ialah Minah.

Che Yah pernah berkahwin dengan Pak Do Yasin yang juga dikenali sebagai Mat Kelubi dan antara pengikut Tok Janggut.

Wan Asrul berkata, moyangnya seorang yang pendiam dan menjadi rujukan masyarakat setempat dalam hal-hal agama terutamanya yang berkaitan ilmu falak.

“Dalam keluarga, antara adik beradik saya orang yang paling rapat dengan moyang saya.

Mungkin disebabkan itu, beliau kerap bercerita kepada saya sejak berusia lapan tahun.

“Meskipun pada mulanya tidak mengetahui siapa sebenar yang diceritakan itu kerana disebut tok fakir, tok fakir sehinggalah moyang saya mendedahkan cerita sebenar.

“Ada masa boleh berkunjung ke kampung Batu 8, Nilam Puri dan berjumpa dengan Tok Su Yah. Insya-Allah sampai sekarang orang tua tidak lupa pada arwah moyang saya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Asrul memiliki beberapa barang peribadi yang dipercayai milik Tok Janggut di mana kesemuanya pemberian moyangnya.

Antara barang yang masih disimpan adalah periuk, parang calok, pisau rejam, tempayan dan tulisan tangan ayat perang.Kredit : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kisah-di-sebalik-kubur-tok-janggut-87360

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *